Ibu bapa bukan rumah pengasuh

Gambar hiasan.

Islam ialah sistem pembinaan rumahtangga yang menepati tuntutan agama yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Islam meletakkan asas yang jelas dalam pembinaan sistem ini antaranya melalui firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai manusia! Takutlah kepada ALLAH yang menciptakan kamu daripada diri yang satu, kemudian diciptakan seorang isteri daripadanya sehingga berkembang generasi manusia daripada golongan lelaki dan perempuan” (al-Nisa’: 1).

Menurut Ibn Kathir RH bahawa ayat ini menjadi rujukan utama dalam sistem pembinaan kekeluargaan Islam yang bermula dengan kisah penciptaan Adam AS, kemudian diciptakan Hawa AS daripada tulang rusuknya, seterusnya bertambah generasi manusia sehingga hari Kiamat. Menurut ulama, keluarga merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia yang kita dapat melalui penciptaan Adam dan Hawa AS sebagai sebuah keluarga yang terdiri daripada suami dan isteri (Dustur al-Usrah fi Zilal al-Quran).

Salah satu topik penting dalam kekeluargaan Islam ialah pendidikan anak yang juga menjadi perbincangan khusus dalam artikel ini. Hadis masyhur yang biasa kita dengar antaranya tentang tanggungjawab ibu bapa sebagai ketua keluarga yang akan ditanya oleh ALLAH SWT (HR al-Bukhari & Muslim) sebagai pedoman buat ibu bapa dalam pendidikan anak agar amanah anak ini menjadi saham pahala bukan bebanan dosa yang menghumban ibu bapa ke dalam neraka seperti firman-Nya: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluargamu daripada apa neraka” (al-Tahrim: 6).

Menurut Abdullah Nasih Ulwan, antara perkara yang meruntuhkan institusi kekeluargaan ialah masa lapang yang menguasai anak dan kelalaian ibu bapa dalam pendidikan anak (Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam).

Cuti sekolah antara masa lapang yang terbaik untuk kita mengisi ‘family time’ bersama dengan anak seperti bermain, bercuti atau beraktiviti secara bersama. Ibu bapa yang memahami tuntutan pendidikan anak sepatutnya memanfaatkan masa ini untuk menebus kembali segala kelompongan kasih sayang kepada mereka selama hampir 11 bulan.

Inilah masa untuk mengambil cuti tahun dan hadiahkan masa itu untuk mereka setelah sekian lama mereka bersabar dengan kesibukan kita sedangkan kita hanya berharap agar mereka memahami tugas kita. Adakah mereka sahaja yang perlu memahami kita? Adakah kita juga memahami kehendak mereka? Atau mereka sahaja yang perlu memahami kita? Adilkah begitu. Tidak sama sekali. Fahamilah perintah ALLAH SWT yang menyuruh kita berlaku adil kerana keadilan itu hampir kepada ketakwaan (al-Ma’idah: 8).

Malangnya, cuti sekolah mereka hanya bercuti di kampung bersama atuk dan nenek. Nenek yang sedang meniti usia senja itu sekali lagi perlu memikir makanan dan pakaian cucu ditambah lagi dengan penyakit tiga serangkai. Atuk pula terpaksa ponteng solat jemaah dan majlis ilmu di masjid kerana nenek ‘tak cukup tangan’ menepis si cucu yang memanjat tiang, melompat atas sofa dan memekak memecah kesunyian orang tua.

Terlepas peluang nenek untuk membaca al-Quran dan membaca buku agama buat bekalan menuju alam abadi. Mana ibu bapa mereka? Rupa-rupanya ibu bapa bercuti ke Eropah, ‘honeymoon’ di Jepun, melancong ke Amerika. Sudahlah si anak itu memendam kesabaran sekian lama, kini kesabaran itu pula dipendam oleh sang tua di kampung sana.

Atuk mana yang tidak sayang dengan cucunya? Nenek mana yang tidak rindu cucunya? Inilah alasan yang paling bernas oleh kebanyakan ibu bapa yang menjadikan rumah atuk di kampung sebagai rumah pengasuh anak pada musim cuti sekolah. Ingatlah kita dengan tanda kiamat seperti yang dinyatakan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW iaitu: “Apabila hamba melahirkan tuannya” (HR Muslim). Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani RH bahawa maksud hadis ini ialah penderhakaan anak terhadap ibu bapanya termasuklah memaksa ibu bapa melakukan kerja yang diingininya sedangkan ibu bapa lebih tinggi daripada anak, namun ibu bapa dikuasai oleh anak mereka sendiri (Fath al-Bari).

Sementara Syeikh Mustafa Dib al-Bugha pula menyatakan bahawa hadith ini menjelaskan perasaan takut ibu bapa untuk menegur dan nasihat anak kerana bimbang anak akan merajuk dan terasa hati dengan ibu bapa (al-Wafi fi Syarh al-Araba’in al-Nawawiyyah).

Amaran ini sudah memadai untuk menyedarkan ibu bapa tentang betapa penting masa lapang sebagai salah satu bentuk pendidikan anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa. Ya, nenek pasti suka cucu tinggal bersamanya di kampung tetapi cuba kita letakkan perkara itu dalam hidup kita pula, apa yang kita rasa? Pasti kita penat dek faktor usia selain kesihatan yang kurang mengizinkan.

Biarlah mereka tenang pada usia ini selepas berhempas pulas menjaga kita dahulu, kini masanya adalah untuk ke masjid, mengaji dan berehat tanpa gangguan sesiapapun. ALLAH SWT Maha adil, jika hari ini kita berbuat demikian sedangkan si ibu tua itu hanya menerima tanpa rela maka nantikanlah keadilan-Nya bila tiba giliran kita nanti.

Apa yang kita beri, kita juga akan mendapat balasannya (HR Ahmad), maka marilah kita berfikir sejenak adakah ia menjadi ‘trend’ baharu apabila cuti sekolah anak akan dihantar pulang ke kampung? Sementara ibu bapa pula bercuti berdua menghabiskan cuti tahunan.

Kepada semua yang bergelar ibu bapa, marilah bersama kita mendidik zuriat keturunan kita sejak dari kecil. Ajarkan mereka kemas meja makan, basuh pinggan, buang sampah, susun kasut, lipat baju dan sebagainya yang sesuai dengan tahap umur dan jantina.

Nasihatlah dengan hikmah, tegurlah dengan berani dan hukumlah dengan adil jika mereka enggan kerana begitulah proses pendidikan anak yang diajar oleh agama Islam. Jika tidak, kelak ibu bapa akan rasa takut dengan anak, bimbang anak merajuk, risau anak tidak pulang menjengah, sedih jika anak lari meninggalkan ibu bapa. Ketakutan dalam diri ibu bapa inilah menjadi sebab kenapa hari ini ibu bapa mengeluh apabila musim cuti sekolah rumah mereka di kampung akan menjadi rumah pengasuh dalam tempoh seminggu bahkan ada yang hampir sebulan.

Semoga musim cuti ini dapatlah kita meraikan anak kita yang dahagakan kasih sayang yang sekian lama menanti waktu bersama dengan ibu bapa. Bawalah mereka bercuti bersama, luangkan masa sebaik mungkin kerana anak ini nikmat kurniaan ALLAH SWT. Syukuri sementara mereka masih ada, jangan ditangisi jika mereka hilang dari pandangan kita.

Jika merancang untuk pulang ke kampung, kembalilah bersama bukan tinggalkan mereka kepada atuk nenek di kampung. Hormatilah ibu bapa kita, mereka mendidik kita dengan sebaik mungkin. Sekarang adalah masa untuk kita pula mendidik anak kita seperti didikan ibu bapa kita dahulu. Doakanlah mereka seperti perintah ALLAH SWT: “Ya ALLAH! Rahmatilah mereka seperti mana mereka mengasihiku sewaktu kecil” (al-Isra’: 24). Rasulullah SAW menyatakan bahawa memuliakan ibu bapa lebih besar dari jihad di jalan ALLAH (HR al-Bukhari & Muslim). Wallahualam.

*Fahimi Zakaria Management & Science University

Sumber : Sinar Harian

1+

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *